Sunday 14 August 2011

MAS tidak akan dijual

Oleh ASLIZA MUSA

pengarang@utusan.com.my



IPOH 13 Ogos - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) akan kekal menjadi milik negara walaupun berlaku pertukaran saham dengan AirAsia Bhd. (AirAsia).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, jaminan itu diberikan berikutan separuh daripada pegangan saham dalam MAS dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

Beliau menegaskan, MAS tidak mungkin akan dijual kepada syarikat luar walaupun saham sebanyak 20.5 peratus telah diberikan kepada AirAsia.

"Ini kerana 50 peratus pegangan saham MAS masih dalam tangan Khazanah dan baki selepas pertukaran itu juga dimiliki agensi lain dalam kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pasar raya baru Mydin Mohamed Holdings Bhd. di Gugusan Manjoi di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin.

Beliau mengulas kebimbangan Dewan perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berhubung pertukaran saham antara MAS dan AirAsia bakal menyebabkan syarikat penerbangan nasional itu terdedah kepada pemilikan sepenuhnya syarikat luar pada masa akan datang.

Ahmad Husni berkata, penggabungan melalui pertukaran saham itu dilakukan bukan sahaja bagi berhadapan dengan persaingan dalaman tetapi juga persaingan dari luar.

Katanya, melalui penggabungan kedua-dua entiti itu, ia akan mewujudkan keseragaman struktur pentadbiran seterusnya membantu mengukuhkan kedudukan kedua-dua organisasi itu.

"Apabila berhadapan dengan pasaran global, tidak boleh ada dua entiti penerbangan yang bersaing antara satu sama lain.

"Maka dengan penggabungan tersebut dan berdasarkan pengalaman kedua-dua organisasi ini, ia mampu mengukuhkan lagi persaingan dalam industri penerbangan dengan dunia luar," katanya.

No comments:

Post a Comment