Thursday 18 August 2011

Jadikan Bentong Bandar Satelit

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@Utusan.com.my




BENTONG 17 Ogos - Kerajaan Pahang disaran melakukan kajian bagi mewujudkan sebuah bandar baharu atau bandar satelit di daerah ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tujuan mewujudkan bandar satelit itu bagi mengurangkan tekanan penduduk terutama di bandar ini yang berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas.

"Penduduk daerah ini terutama yang tinggal di bandar bukan sahaja terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan, tetapi pada hari-hari biasa dan hujung minggu.

"Saya sendiri terkejut dengan keadaan kesesakan yang berlaku semasa dalam perjalanan ke program ini, namun bernasib baik ada polis membantu dan akhirnya berjaya sampai pada waktu yang dijanjikan," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah demikian pada majlis berbuka puasa bersama rakyat dan pengurniaan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di pekarangan Masjid Daerah Bentong di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong.

Tengku Abdullah bertitah, kajian jangka panjang yang sistematik perlu dijalankan bagi membina bandar satelit supaya dapat memberikan keselesaan kepada penduduk kawasan ini.

Dalam perkembangan sama, baginda bertitah, lokasi bandar Bentong yang begitu hampir dengan Kuala Lumpur perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama daripada segi pembangunan infrastruktur.

Titah baginda, kedudukannya yang strategik itu mampu menjana lebih banyak pembangunan di kawasan sekitar, sekali gus memberi impak positif kepada rakyat.

Baginda yakin kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan dan menjaga kepentingan rakyat negeri ini supaya terus terjamin dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan jalan berkembar dari Lipis ke Bentong.

"Apa yang diharapkan ialah rakyat negeri ini bersyukur dengan pembangunan yang ada," titah baginda.

No comments:

Post a Comment