Monday 12 December 2011

Winnable Candidate...!??

Semua Parti Akan Janjikan Calon "Winnable":

1. Kalau ada benda yang kita di Malaysia tidak pernah kekurangan, malah berlebihan, adalah kepandaian mencipta slogan dan label.

2. Yang terbaru adalah “winnable”. Ia merujuk kepada label yang Umno/Barisan Nasional berikan kepada ciri calon untuk pilihan raya umum akan datang.

3. Tetapi sama ada pengundi dan orang ramai faham atau tidak dan percaya atau tidak dengan slogan-slogan dan label-label tersebut adalah perkara lain.

4. Dalam bahasa Inggeris, “winnable” adalah boleh menang. Untuk menjadi calon yang boleh menang, seseorang itu mestilah terlebih dahulu menjadi calon yang boleh memenangi hati pemilih.

5. Kalau tanya pengundi dan orang ramai siapa calon yang boleh menang itu, mereka tentulah kata calon yang baik, bersih, mesra, berusaha, berkebolehan, ada dasar dan wawasan, dan banyak lagi.

6. Masalahnya, semua calon akan kata, itulah ciri-ciri yang ada pada mereka. Semua parti pun kata, itulah calon-calon yang mereka kemukakan.

7. Oleh kerana yang mencetuskan label “winnable candidates” atau calon mampu menang itu Umno/BN, maka perlulah kita rujukkan perbahasan perkara ini khusus kepada Umno dan parti-parti rakannya dalam Barisan Nasional.

8. Mula-mula mereka kenalah mulakan konsep calon mampu menang ini dengan mewujudkan ruang kepada mereka. Caranya termasuklah:

8.1. Calon-calon yang kalah dalam PRU lalu janganlah diletakkan semula, apatah lagi kalau mereka bermasalah;

8.2. Bekas-bekas Menteri yang sekarang menjadi ahli biasa Dewan Rakyat silalah umumkan pengunduran mereka mulai sekarang supaya calon “winnable” boleh dikenal pasti dan ditonjolkan. (Bekas-bekas Menteri tidak sesuai merendahkan martabat diri mereka dengan menjadi Ahli Parlimen biasa saja. Lagipun mereka tentu tidak boleh laksanakan peranan “check and balance” sebab mereka terbabit dengan dasar-dasar dan rancangan-rancangan Kerajaan masa lampau;

8.3. Perdana Menteri (yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN) kenalah beritahu Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak menepati slogan 1Malaysia – rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan – supaya berundur dan jangan buat kacau. Kalau buat kacau, tunjukkanlah “fail sulit” mereka. Sah ramai sembelit atau cirit-birit;

8.4. Perdana Menteri kenalah adil bila pergi jalan-jalan. Jangan Brickfields, Petaling Street dan The Curve saja. Tolonglah masuk kampung, jalan-jalan jumpa rakyat jelata yang tak ada akaun facebook atau twitter;

8.5. Dengar khabar, Perdana Menteri akan siapkan senarai calon “winnable” beliau dalam masa sebulan dua lagi. Eloklah, lagi awal lagi bagus;

8.6. Tapi kalau nak tahu siapa bakal calon “winnable” jangan tanya Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua-ketua Bahagian saja. Jumpa dan tanya Ketua-Ketua Cawangan. Suruh mereka bagi tiga atau empat nama. Kalau calon Parlimen dan DUN pilihan mereka diletakkan, mereka mesti kerja kuat dan tidak sabotaj;

8.7. Boleh bagi duit kepada murid sekolah, keluarga pendapatan rendah dan pegawai kerajaan, tapi apa hal dengan berjuta-juta lagi rakyat jelata yang juga dihimpit inflasi?;

8.8. Bagi duit akan wujudkan permintaan tambahan. Itu baik kepada ekonomi negara. Tetapi, apabila permintaan bertambah dan bekalan tidak bertambah, harga akan naik. Apa kata kalau kita gunakan duit itu untuk tambah bekalan supaya harga tidak naik?; dan

8.9. Akhir kalam, tidak kira BN atau Pakatan Rakyat, jagalah baik-baik anak bini, abang adik, kawan taulan, kerbau lembu, kontrak dan projek supaya tidak jadi masalah kepada jentera parti dan tukang-tukang kempen masing-masing. 

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment